
MIRI: Seorang lelaki berusia 54 tahun maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya bertembung dengan pikap Toyota Hilux kira-kira jam 5.14 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri (KPD Miri) ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan telah menerima satu laporan polis berkenaan satu kemalangan maut yang berlaku di Jalan Bakam Miri/Bintulu melibatkan tiga buah kenderaan.
Menurutnya, kemalangan berlaku pada jam lebih kurang 5.14 pagi di antara sebuah pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 40 tahun yang bergerak dari pusat bandar menghala ke Bekenu dengan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu oleh seorang lelaki 54 tahun dan datang dari arah Bekenu Ke Pusat Bandar.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu pikap Toyota Hilux yang cuba mengelak sebuah motorsikal di hadapannya lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan Proton Saga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa iaitu pemandu kenderaan Proton Saga kemudian dihantar ke Hospital Miri dan telah disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital.
Susulan daripada laporan polis tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.