BAU: Seorang lelaki maut akibat cedera parah setelah kereta dipandunya hilang kawalan di Kilometer 10, Jalan Kuching-Bau, di sini semalam.
Mangsa berusia 20 tahun, meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Bau.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke Taman Mutiara, Jambusan dari Kuching.
“Semasa melalui satu selekoh, kereta yang dipandu mangsa telah hilang kawalan ke kiri jalan lalu terus masuk ke dalam parit melanggar hujung pembetung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan, mangsa mengalami patah tulang dada sementara keretanya mengalami kerosakan di seluruh bahagian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.