SERIAN: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an meninggal dunia apabila keretanya terbabas dan menghempap bumbung sebuah rumah, selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Batu 29, Jalan Kuching-Serian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 6.55 pagi tadi melibatkan kereta Innova yang dipandu mangsa, sebuah Perodua Kancil dan sebuan motosikal.
“Kesemua mangsa terlibat adalah empat orang dengan tiga daripadanya cedera ringan manakala seorang iaitu pemandu Innova masih berada di tempat duduk pemandu dan telah disahkan meninggal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang berada di tempat kejadian.
“Pasukan BBP Serian kemudian membantu mengangkat serta mengalihkan mangsa dari dalam kenderaan dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala, katanya mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) Serian sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.
