KUCHING: Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya terbabas di Jalan Perindustrian Demak Laut, Sejingkat, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan kira-kira jam 9.54 pagi.
Katanya, setibanya di lokasi, mangsa, 21, didapati tidak sedarkan diri dan dalam keadaan tersepit di bahagian tempat duduk hadapan pemandu.
“Pasukan bomba bertindak membuka pintu hadapan sebelah kiri dan mengeluarkan mangsa tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.
Katanya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.