Lelaki maut kereta terjunam ke dalam parit

SARIKEI: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta Toyota Vios yang dipandunya terjunam ke dalam parit di Jalan Pasi Sarikei-Bintangor petang tadi.

Mangsa yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, Bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kecemasan jam 6.09 petang.

“Bomba dan dan Penyelamat Sarikei yang digerakkan ke lokasi mendapati kereta sudah ditarik ke tebing parit oleh penunda kereta.

“Susulan itu, Bomba melakukan pencarian di permukaan air dengan menggunakan tali penyelamat. Mangsa akhirnya berjaya dijumpai di dasar parit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita turut menemui sepasang suami isteri di tempat kejadian yang memberitahu kereta berkenaan dipandu oleh anak lelaki mereka,”katanya.

Dalam pada itu, ADUN N.45 Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii yang kebetulan berada di lokasi turut sedih dengan kejadian itu.

“Saya berharap keluarganya tabah dan sabar dengan dugaan yang menimpa,” katanya.

Dato Sri Huang Tiong Sii (dua kanan) turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa.