Lelaki maut, motosikal bertembung kereta di Jalan Kabong-Roban

SARATOK: Seorang lelaki warga tempatan maut setelah motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di di KM 32 Jalan Kabong Roban sekitar jam 7.45 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan mangsa, Sylvester Kuchun berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia akibat kejadian.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga ditembung oleh motosikal mangsa dari arah hadapan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kereta yang bergerak dari Nyabor menuju ke Saratok dilanggar dari arah hadapan oleh sebuah motosikal dari arah bertentangan.

“Pemandu dikatakan cuba mengelak ke kiri namun tidak sempat berikutan motosikal tersebut bergerak laju.

“Akibat daripada kejadian mangsa (penunggang) mengalami kecederaan parah lalu dibawa ke Hospital Saratok untuk rawatan kecemasan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa seterusnya dirujuk ke Hospital Sarikei namun meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan sekitar jam 1 tengah hari.

Dedahnya, mayat mangsa kini masih di hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kes kini masih lagi disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak