BINTULU: Seorang lelaki maut selepas motosikal Honda RS150 ditungganginya dilanggar sebuah lori yang sarat dengan muatan besi di hadapan lampu isyarat Jalan Sebiew, petang Jumaat.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, Hanaffiee Norsah, 50, yang merupakan kakitangan Lembaga Kemajuan Bintulu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan media berkata, kejadian dipercayai berpunca dari lori yang dipandu lelaki tempatan berumur 45 tahun mengalami kerosakan brek lalu melanggar isyarat lampu merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa yang sedang bergerak dari arah sebelah kanan.
Impak daripada rempuhan tersebut, katanya, menyebabkan mangsa bersama-sama motosikalnya terbabas dan terpelanting di tengah jalan.
Alexson berkata, mayat Hanaffiee telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu di sini untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah Akta 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.