PADAWAN: Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya terbabas di Batu 9, Jalan Matang di sini semalam.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.18 petang ketika mangsa, 21 tahun dalam perjalanan dari Jalan Matang Jaya menuju ke Matang.
“Motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas di tepi jalan lalu melanggar penghadang besi jalan dan tercampak terkena papan tanda arah jalan serta tiang telekomunikasi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HUS untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
