DARO: Seorang lelaki maut apabila pikap yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Kedai di sini, malam tadi.
Insiden kira-kira jam 9.50 malam itu, mengakibatkan mangsa, Aziman Jaafar, 34, meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Daro.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaam Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Semop menghala ke Kampung Kelai.
“Sebaik sampai di tempat kejadian kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik ke kiri jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa yang tersepit di bawah kenderaannya mengalami kecederaan di kepala dan berjaya dikeluarkan oleh orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dibawa oleh keluarganya ke Hospital Daro untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di pangkalan feri Batang Lassa.
Mancha berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.