Lelaki maut, rakan cedera parah motosikal terlanggar batu

BARAM: Seorang pembonceng motosikal maut manakala penunggangnya cedera parah dalam kemalangan kendiri di jalan pembalakan Samling Ulu Linei, Marudi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya kejadian dilaporkan kira-kira jam 3.45 petang itu dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa dari arah jalan pembalakan Samling Ulu Linei menuju ke arah Linei Putih.

“Motosikal yang ditunggang mereka dipercayai terlanggar batu menyebabkan mangsa terpelanting dan jatuh ke dalam sungai sementara rakannya jatuh di atas jambatan kayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Marudi untuk tindakan lanjut.

Manakala, beliau berkata penunggang motosikal terbabit yang berusia 30 tahun dimasukkan di wad Hospital Marudi untuk rawatan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di jalan pembalakan Samling Ulu Linei, Marudi pada Selasa.

Suara Sarawak