BINTULU: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Bintulu Samalaju, petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mengakibatkan mangsa, Koh Boon Chuan, 23, maut akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju, Penolong Penguasa Bomba Hashim Norshidi memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.20 petang sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk menghulurkan bantuan.
“Insiden membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan lori. Akibat rempuhan kuat, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pasukan bomba berusaha menyelamatkan mangsa menggunakan peralatan khas sehingga berjaya dikeluarkan dari dalam kenderaan berkenaan.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan paramedik sebelum disahkan meninggal dunia.
Sebagai tindakan susulan ujarnya, pasukan bomba melakukan pemantauan bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat untuk dilalui oleh kenderaan lain.
“Operasi berakhir pada jam 6.14 petang,” tambahnya.
