Lelaki menyamar polis kini diburu

KUCHING: Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan kes tipu melibatkan kerugian sebanyak RM14,563.10 kini menjadi buruan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya kini sedang menjejaki suspek dikenali sebagai Syed Haidil Syed Ahmad berusia 37 tahun bagi membantu siasatan terhadap dua kes penipuan membabitkan dua warga tempatan.

Menurutnya, laporan pertama diterima daripada seorang wanita berusia 28 tahun pada 16 Februari 2016 manakala mangsa kedua seorang lelaki berusia 50 tahun membuat laporan pada 4 September 2018.

“Kes pertama membabitkan suspek menyamar sebagai anggota polis menipu seorang perempuan untuk menguruskan insurans nyawa suami mangsa yang telah meninggal dunia akibat kemalangan dengan meminta wang sebanyak RM8,600.

“Mangsa kedua pula ditipu sebanyak RM5,963.10 dimana suspek menawarkan penjualan tiga buah motosikal dan dua buah kereta yang hendak dilupuskan oleh kerajaan.

“Kedua-dua mangsa telah tampil dan membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu oleh suspek,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan terhadap suspek di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Ekoran itu, Kamal meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan dan mengesan suspek.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi kita di talian 019-7000577 atau ASP Pricha Azin di talian 019-8897640,” ujarnya.

Suara Sarawak