ARTIKEL

Lelaki muda ditahan intai wanita dalam bilik air

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GEORGE TOWN: Polis berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita, mendakwa diintip menerusi kamera tersembunyi di dalam bilik air ketika menginap di sebuah inap desa di Jelutong, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata lelaki berusia 20-an itu, ditahan di Kuala Lumpur petang ini, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis.

Beliau berkata polis percaya dengan penahanan lelaki itu, pihaknya akan dapat menyelesaikan siasatan kes insiden tersebut, turut tular di media sosial sejak Jumaat.

“Polis telah mengesan lelaki itu semalam, sebelum berjaya menahannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian kamera tersembunyi, dalam bilik air tersebut.

“Polis juga telah mendapat perintah reman ke atas lelaki itu selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, kerana mengaibkan kehormatan seseorang,” katanya kepada Bernama semalam.

Difahamkan, lelaki itu merupakan rakan kepada wanita yang membuat laporan polis tersebut dan dipercayai dia turut menginap di inap desa yang sama, bersama beberapa lagi rakan mereka.

Terdahulu hari ini Bernama melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes itu, selepas pemeriksaan pihak polis mendapati pautan yang terdapat di kamera tersebut menghubungkan dengan telefon bimbit lelaki berkenaan.

Kelmarin, polis mengesahkan menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 24 tahun mendakwa diintip menerusi kamera yang disembunyikan di dalam bekas pewangi di bilik air, ketika sedang bercuti pada 5 hingga 6 Feb lepas.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU