Lelaki OKU hampir jadi mangsa kebakaran rumah pagi tadi

KUCHING: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) nyaris menjadi mangsa setelah rumah pusaka berusia 20 tahun hangus 100 peratus akibat kebakaran di Lot 52 Kampung Sourabaya Ulu, pagi tadi.

Menurut abang mangsa, Hepeni Bujang, 58, adiknya, Muhd Jaya Bujang, 55, ketika kejadian hanya berseorangan di dalam rumah sebelum bertindak keluar rumah yang sudah dikelilingi api marak.

Katanya, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di salah sebuah bilik rumah berkenaan sebelum kebakaran turut menyebabkan empat buah kediaman berdekatan turut terjejas.

“Beliau(Jaya) ketika kejadian difahamkan memang masih berada di rumah namun segera bergegas keluar sejurus melihat api semakin marak,” katanya.

Jaya yang ditemui selamat dengan mengenakan seluar pendek dan baju berwarna biru hanya menunduk selain mendedahkan beliau sempat melarikan diri di dalam segumpalan api besar.

Susulan kejadian, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima kejadian sekitar jam 7.50 pagi sebelum segera mengerahkan 16 anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) daripada Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi.

“Kebakaran telah melibatkan lima buah rumah di mana sebuah rumah telah terbakar keseluruhan, rumah kedua terbakar 80 peratus, ketiga terbakar 40 peratus, manakala dua lagi turut terjejas akibat kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua 21 penghuni rumah kediaman terbabit selamat berikutan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ujarnya, operasi pemadaman seterusnya ditamatkan pada pukul 10.30 pagi setelah kerja-kerja penyelenggaraan selesai dilakukan.

Turut hadir ke lokasi kejadian, pihak Sesco dan juga beberapa anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BINGUNG… Jaya seakan-akan terkilan selepas rumahnya hangus sekelip mata akibat kejadian kebakaran

Suara Sarawak