Lelaki patah kaki dalam kemalangan lori bertembung treller

KUCHING: Seorang lelaki tempatan patah kaki kiri akibat lori yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori trellar di Jalan Datuk Stephen Yong, Batu Kawa hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, PBK II Dumek Rio berkata pihaknya menerima laporan kejadian menerusi Pusat Gerakan Operasi Sarawak sekitar jam 6.46 pagi.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan dinaiki tiga penumpang bertembung dengan lori trellar dinaiki seorang pemandu.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang penumpang di dalam lori lima tan terbabit masih tersepit manakala seorang daripadanya hanya mengalami luka ringan sahaja.

“Operasi menyelamat mangsa tersepit segera dilakukan, mangsa mengalami patah kaki kiri akhirnya berjaya dikeluarkan daripada kenderaan terbabit.

“Kedua-dua mangsa kemalangan kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi seterusnya ditamatkan sekitar jam 7.42 pagi setelah memastikan kawasan dalam keadaan terkawal.

Tambahnya, operasi menyelamat disertai enam anggota BBP Batu Lintang.

Suara Sarawak