Lelaki pujaan hati kami!

KUCHING: Kini siapa yang tidak mengenali beliau kerana setiap hari rakyat Malaysia akan terpacak di depan televisyen untuk mendengar perkembangan terkini Covid-19.

Tutur katanya sangat sopan, riak wajahnya sedikit sedih tetapi tenang sekali gus menggambarkan betapa kesedihannya dapat dirasai oleh rakyat jelata apabila mengumumkan ada korban krisis global itu.

Makanya, tidak hairan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.

Menurut laporan CGTN, Dr Noor Hisham antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang virus korona, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarika(AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu, memaparkan penampilan yang tenang, jelas dan meyakinkan bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pendemik ini.

Menurut CGTN, mereka bukan ahli politik terkenal, namun berjaya muncul sebagai wajah negara masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19.

Malah ada yang menggelar mereka pujaan hati, bintang tersohor dan hero negara di media.

“Di tengah pandemik global yang tidak pernah dialami sebelum ini, ketika kerajaan di serata dunia kadangkala lambat bertindak atau memperkenalkan langkah yang mengelirukan serta menghantar mesej bercelaru, Dr Fauci, Dr Bloomfield dan Dr Hisham menjadi suara yang bermakna, menenangkan dan meyakinkan,” lapor CGTN.

Dr Noor Hisham, 57, memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, dan dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat Malaysia kerana memberikan maklumat terkini mengenai Covid-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Beliau sentiasa mengemas kini maklumat kepada umum menerusi media sosial sehingga lewat malam, jauh melepasi waktu kerja rasmi.

CGTN berkata, penampilan berprofil rendah dan bersahaja menjadi daya tarikan Dr Noor Hisham manakala Bloomfield disifatkan sebagai kakitangan awam paling secocok bagi menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dr Noor Hisham, yang berkelulusan ijazah Sarjana dalam Surgeri dan Sarjana Muda Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyertai sektor awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988.

Beliau kemudian memilih bidang kepakaran dalam surgeri endokrin dan menjalani latihan di pelbagai universiti termasuk di Adelaide dan Sydney, Australia selain menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa dan tempatan serta menulis kandungan buku teks berhubung surgeri endokrin.

Jadi, rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada wajah ini dan memberi sokongan dengan mengikut segala langkah PKP termasuk berusaha memutuskan rantaian Covid-19. – AGENSI

Suara Sarawak