Lelaki tempatan berjaya ditahan dipercayai curi kenderaan

BINTULU: Polis Daerah Tatau berjaya menahan seorang lelaki tempatan apabila dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kenderaan di Balingian.

Ketua Polis Daerah Tatau DSP Dennis Bunyam dalam kenyataannya berkata saspek berumur 20 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.03 malam tadi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau di KM1 Jalan Tatau-Bintulu, di sini.

Menurutnya, gerakan memburu saspek dijalankan sejurus JSJ IPD Tatau menerima maklumat berkaitan sebuah kenderaan Toyota Hilux warna Silver dengan nombor pendaftaran QM** A* dipercayai telah dilarikan dari Balingian menuju ke Tatau, pada jam 10 malam tadi.

Bertindak atas maklumat tersebut, katanya, anggota JSJ dan MPV IPD Tatau mengadakan operasi menjejaki saspek sebelum berjaya menahan kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan selang sejam dilaporkan hilang oleh pemiliknya.

Hasil semakan mendapati kenderaan 4WD terbabit telah dilaporkan hilang oleh pemiliknya di kuaters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian pada jam 10 malam, hari sama,”ujarnya.

Tambah Dennis lagi, kenderaan bersama saspek ditahan dan dibawa balik ke Balai Polis Tatau sebelum dirujuk ke JSJ IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan dokumen pengenalan, saspek berbangsa Iban dan beralamat di Rumah Dian Nanga Pelugau, Balingian.

DITEMUI… Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan peronda MPV IPD Tatau berjaya menemui kenderaan 4×4 yang dilaporkan hilang di SMK Ulu Balingian.

 

BERKAS… Saspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kenderaan 4X4 yang dilaporkan hilang di SMK Ulu Balingian.

Suara Sarawak