Lelaki tempatan dicekup miliki syabu di Batu 12

KUCHING: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padawan berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan bersama dadah jenis syabu seberat 5.40 gram di belakang kedai serbaneka Batu 12 pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan hasil serbuan pihaknya ke atas sebuah kenderaan dipandu oleh suspek pada jam 12.30 tengah hari di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berjaya menemui ketulan dadah jenis syabu seberat 5.40 gram bernilai RM810.

“Suspek turut disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian saringan awal air kencing,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Susulan kejadian, katanya suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Februari 2020.

Dedahnya, kes disiasat di bawah 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujarnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi daripada lima tahun dan sebat tidak melebihi sembilan kali.

Dalam pada itu, Aidil turut menyeru masyarakat bagi menyalurkan maklumat berkaitan masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing bagi membantu pihak polis bertindak segera.

Suara Sarawak