ARTIKEL

Lelaki tempatan didenda miliki besi tanpa alasan munasabah ketika ditahan 

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, kerana memiliki sebatang besi berukuran 12 kaki tanpa alasan munasabah ketika ditahan oleh pihak berkuasa.

Mohammad Syahrudin Hamid, 29, dari Kampung Bintawa Tengah mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Mersawa, kira-kira jam 10.49 pagi, 28 Disember 2023.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman penjara satu bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda.

Menurut fakta kes, pengadu merupakan pegawai polis bersama anggotanya membuat rondaan cegah jenayah di Jalan Mersawa terserempak dengan dua orang lelaki yang mencurigakan sedang menaiki motosikal sambil membawa sebatang besi berukuran lebih kurang 12 kaki panjang dan dua kaki lebar.

Pihak polis terus mengejar kedua-dua lelaki tersebut berjaya menahan tertuduh manakala rakannya berjaya melarikan diri.

Hasil siasatan, tertuduh menyatakan dia mengambil besi tersebut dari bawah kolong rumahnya yang disimpan oleh arwah ayahnya 10 tahun lalu. Besi terbabit dikatakan diguna untuk menutup parit.

Sementara itu, abang tertuduh mengaku dia menyuruh tertuduh untuk membersihkan bawah kolong rumah mereka kerana kotor dan berbau tetapi tidak pernah melihat apa-apa jenis besi yang disimpan di bawah kolong rumah mereka.

Oleh hal demikian, tertuduh disyaki memiliki barang yang dicuri selain gagal mengemukakan alasan munasabah keberadaan besi terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

LAIN-LAIN BERITA

SAR hari kelima, bayi 18 bulan belum ditemui

KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dikhuatiri terjatuh dalam sungai Kanowit di Nanga Germai di sini, Ahad lalu

BERITA TERBARU