
BINTULU: Seorang lelaki tersepit dan mengalami kecederaan selepas Toyota Hilux yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Nissan Almira di Jalan SGP Samalaju di sini, pagi tadi.
Insiden kira-kira 6.40 pagi itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke bahu jalan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 6.45 pagi.
“Ketika tiba di lokasi, mangsa yang berusia 55 tahun itu masih tersepit di bahagian tempat duduk pemandu di dalam kenderaan berkenaan.
“Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Operasi selesai sepenuhnya pada 7.42 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap itu berkata, setelah berjaya dikeluarkan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.