ARTIKEL

John Alfred Tinniswood

Lelaki tertua di dunia, John Alfred Tinniswood, anggap umur panjang kerana nasib

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LONDON, ENGLAND: Seorang warga emas berusia 111 tahun dari England kini menjadi lelaki tertua di dunia, dan berkata rahsia panjang umur adalah “nasib semata-mata”, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

John Alfred Tinniswood, yang lahir di Liverpool pada 26 Ogos 1912 – tahun sama kapal ‘Titanic’ tenggelam – kini bergelar moyang dan tinggal di rumah penjagaan di Southport.

Dia digambarkan oleh petugas di rumah itu sebagai “individu yang suka cakap banyak”.

Usia sebenar Tinniswood adalah 111 tahun 223 hari pada 5 April, menurut ‘Guinness World Records’.

Gisaburo Sonobe, 112, dari Jepun, yang sebelum ini dijangka menjadi pemegang rekod baharu, telah meninggal dunia pada 31 Mac lepas.

Di sebalik usianya yang lanjut, Tinniswood masih boleh melakukan tugas harian secara bebas, bangun dari katil tanpa bantuan, mendengar radio untuk mengikuti berita, dan masih menguruskan kewangannya sendiri.

Mengenai rahsia panjang umur, pemegang rekod itu memberitahu Guinness World Records: “Nasib saya.”

“Sama ada anda hidup lama atau hidup pendek, tiada siapa yang dapat menentukannya,” katanya.

Selain menikmati ikan dan kentang yang digoreng rangup setiap Jumaat, Tinniswood berkata dia tidak mengikuti diet tertentu.

“Saya makan apa yang disediakan untuk saya dan begitu juga orang lain. Saya tidak mempunyai diet khas,” katanya.

“Jika anda minum terlalu banyak atau anda makan terlalu banyak atau anda berjalan terlalu banyak, jika anda melakukan terlalu banyak apa pun, akhirnya kamu akan menderita,” katanya.

Tinniswood mengalami kedua-dua perang dunia dan merupakan veteran lelaki Perang Dunia Kedua tertua yang masih hidup kerana pernah berkhidmat dalam pentadbiran bagi Kor Gaji Tentera.

Apabila ditanya bagaimana dunia di sekelilingnya telah berubah sepanjang hidupnya, Tinniswood berkata: “Dunia mengikut caranya, sentiasa berubah.

“Ia pengalaman yang berterusan. Ia semakin baik tetapi tidak begitu banyak lagi. Ia berjalan dengan cara yang betul.”

Tinniswood bertemu isterinya, Blodwen, dalam majlis tari-menari di Liverpool dan pasangan itu menikmati kehidupan selama 44 tahun bersama sebelum Blodwen meninggal dunia pada 1986.

Setelah bergelar lelaki tertua di UK pada 2020, Tinniswood tidak terganggu dengan status baharunya sebagai lelaki tertua di dunia.

“Tidak memberi apa-apa perbezaan kepada saya. Tidak sama sekali. Saya terima apa adanya,” katanya.

Memberikan nasihat buat generasi muda, dia berkata: “Sentiasa lakukan yang terbaik, sama ada anda belajar sesuatu atau sama ada anda mengajar seseorang.

“Berikan semua yang anda ada. Jika tidak, ia tidak berbaloi untuk disusahkan.”

Lelaki tertua sebelum ini ialah Jiroemon Kimura dari Jepun, yang hidup hingga usia 116 tahun 54 hari dan meninggal dunia pada 2013.

Wanita tertua di dunia dan masih hidup ialah Maria Branyas Morera dari Sepanyol, yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-117. – BERNAMA-dpa

BERITA LAIN

Polis siasat wanita dakwa diri Imam Mahdi

KUANTAN, Pahang: Polis sedang menyiasat seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi seperti tular di media sosial sejak semalam. Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan

BERITA TERBARU