SIBU: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai warganegara Filipina maut selepas bertindak terjun dari Tingkat 11, Tempat Letak Kereta Bertingkat Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Jalan Wong Nai Siong di sini petang tadi (Ahad).
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung cubaan membunuh diri itu pada jam 5.21 petang.

“Orang awam memaklumkan terlihat seorang lelaki sedang berpaut pada tiang lampu dan berada di posisi luar bangunan di tingkat atas sekali (Tingkat 11) tempat tersebut.
“Seramai 10 anggota diketuai PBK I Donny Sumping berserta jentera FRT dan EMRS digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak satu kilometer dari balai,” katanya.
Setibanya di tempat kejadian, jelasnya lagi, pihak polis yang sudah berada di tempat kejadian memaklumkan kepada anggota bomba bahawa mangsa berada dalam keadaan tidak normal dan mengugut akan terjun dari bangunan.
“Setelah ‘size up’ dilakukan, pasukan bomba bertindak untuk cuba memujuk mangsa tetapi mangsa bertindak melepaskan tangan dari tiang lampu yang dijadikan tempat berpaut dan terus terjun ke bawah.
“Anggota penyelamat cuba menangkap mangsa tetapi tidak berjaya,” katanya.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).