Trending

Lembaga bertudung hijau

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Kehadiran menyeramkan makhluk bertudung hijau sepekan lalu menjadi buah mulut penduduk Kampung S. 

Tidak kira di warung kopi atau di kebun, semua bercerita tentang momok tersebut. 

Masing-masing tidak dapat memastikan tentang penampakan lembaga itu yang sering mengganggu penduduk yang melalui jalan di pinggir Hutan R bersebelahan Kampung S. 

Walaupun penduduk kampung sering mendakwa terdengar bunyi seakan-akan desiran kain menyeret dedaun dan hilaian kesayuan dari pinggir hutan ketika malam mula menjengah, mereka tidak dapat mengecam wajahnya. 

Bunyi itu sudah cukup bagi mereka lari tak cukup tanah.

Sebuah tragedi yang berlaku beberapa tahun lalu menguatkan kepercayaan penduduk kampung tentang kewujudan lembaga itu. 

Dikatakan wanita muda yang baru kahwin bersendirian pulang dari rumah emaknya di kampung sebelah. 

Ketika dalam perjalanan, hujan lebat dan memaksanya melalui pinggir hutan seorang diri. 

Kedengaran suara desiran kain membuat wanita itu lari ketakutan. 

Malangnya, dia terperangkap di antara ranting-ranting pokok yang berduri lalu terjatuh.

Wanita itu berteriak meminta pertolongan sehingga hilang rentak nafasnya. 

Dan kemudian, seperti satu mimpi buruk, satu lembaga bertudung hijau muncul di hadapannya. 

Wanita itu memegang sebilah pisau sambil menyeringai.

“Sayang, jangan takut. Biarkan aku merapu sebentar di hatimu, kemudian kau boleh pergi”.

Wanita muda itu menggelupur menjerit, cuba meloloskan diri, namun sia-sia. 

Wanita bertudung hijau itu hanya memegang pisau dengan lebih kejap. 

Dikhabarkan, wanita muda itu hilang tanpa sebarang berita.

Kewujudan lembaga bertudung hijau tetap menjadi misteri yang belum terungkai.

“Ah, bohonglah cerita kau ni, Qaeid! Macam tak logik je,” ujar Farish sambil menghirup kopi O panas di warung Pak Tam setelah mendengar cerita Qaied.  

Dia hanya mencebik bibir tanda mengejek.

“La, kau juga yang suruh aku cerita,” Qaeid membela diri.

“Legenda urban je tu. Masakan ada wanita berjalan seorang diri di dalam hutan.

Ingat cerita Red Riding Hood ke?” balas Farish sambil ketawa berdekah-dekah.

Qaeid segera menghabiskan sisa kopi lalu lantas menghidupkan motor kapcai meninggalkan Farish yang tercengang-cengang. 

Berdesup Qaeid memecut. 

“Sikit-sikit nak sentap.

Macam perempuan.

Lantaklah,” bisik hati Farish.

“Betul Farish, Pak Tam pun pernah terserempak dengan lembaga tu!” sergah Pak Tam membuatkan Farish sedikit terkejut.

“Isk, orang tua ni, menyampuk pula,” getus Farish.

“Kau dekat 10 tahun tak balikkan? Berubah banyak dah kampung ni, Farish.

Hati-hati, Pak Tam dengar lembaga tu suka kacau lelaki bujang macam kamu,” seloroh Pak Tam sambil mengemas meja mahu menutup perniagaannya sebelum menjelang senja.

“Dah, pergi balik.

Nak masuk Maghrib ni,” arah Pak Tam pada Farish.

Farish menunggang motosikal lalu menelusuri jalan di pinggir hutan. 

Walaupun mulut berkata bohong tentang lembaga itu, sebenarnya hati menafikan. 

Dia mula goyah dengan cerita Qaeid.

Terasa motor yang ditunggangnya agak berat. Farish mula tidak sedap hati.

“Ish, kenapa ni. Siapa pulalah nak menumpang,” Farish cuba berseloroh sendirian.

Keadaan sekitar mulai gelap. Ketakutan mula memanjat diri.

Setibanya Farish di simpang pohon besar, dia melihat ada sosok lembaga berbungkus putih. 

Kakinya mula rasa kebas-kebas. Hampir terbabas motor yang ditunggangnya ke longkang. 

Farish mula rasa pening dan akhirnya pengsan di situ.

Keesokan harinya, Qaeid mengajak adiknya, Qaiser bergegas menuju ke rumah Farish, saat mendengar Farish dijumpai pengsan di tepi jalan kerana dikacau. 

Nasib baik Pak Tam menjumpainya.

Kalau tidak, semalamanlah dia di pinggir hutan.

“Kan aku dah kata, kau tak percaya,” Qaeid memulang paku buah keras kepada Farish.

“Betul Eid, aku nampak lembaga bertudung hijau tu.

Wajahnya buruk sangat. Lidah terjelir,” perlahan-lahan Firash menuturkan kata.

Qaeid memandang Qaiser kehairan.  

Kedua-dua beradik mula rasa tak sedap hati. 

Padahal mereka yang merancang mahu menakutkan Farish. 

Qaiser disuruh menyamar sebagai pocong. 

Lembaga bertudung hijau itu memang cerita rekaannya untuk menakut-nakutkan Firash. Pak Tam pun turut terlibat untuk mengenakan Farish.

“Aku nampak sosok pocong tu, tapi yang lebih mengerikan lembaga bertudung hijau tu berdiri tidak jauh dari belakang pocong tuh,” tambah Farish sambil menghirup bubur nasi.

Qaeid dan Qaiser hanya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Legenda Urban kampung rupanya kembali menyerang.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Sanggar Puisi

Airul Affendi Ali September 2023 Puchong, Selangor. PANTUN RAKYAT NEGERI

ANAK MERDEKA

MUSALMAH 31 OGOS 2023 Anak Merdeka saban hari, saban purnama

Demi Malaysia

Kita bertiga dalam genggaman setiaberdiri di bawah satu benderadan sebuah

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru