Lembaga Sagu Sarawak akan ditubuhkan

DALAT: Kerajaan Sarawak merancang menubuhkan Lembaga Sagu Sarawak untuk mengawal, meningkat dan mengukuhkan pembangunan industri sagu di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, fungsinya sama seperti Lembaga Koko Malaysia (LKM) bagi membangunkan industri sagu untuk kompetitif di pasaran global termasuk membuat penyelidikan serta pemasaran.

“Bagi mengembangkan lagi industri ini, kita telah membangunkan Model Penyaliran Biogas Termurni daripada sisa cecair sagu untuk kegunaan memasak di Kampung Teh, Dalat.

“Justeru itu, Daerah Dalat bukan sahaja menghasilkan sagu daripada pokok rumbia tetapi juga gas memasak dari sisanya sekali gus akan menghasilkan lebih pendapat kepada penduduk daerah ini yang bergantung pada industri sagu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Tebingan Dalat 2 dan Bangunan Bazaarnita Fatima di sini, hari ini.

Menurutnya Kerajaan Negeri mempunyai pelbagai perancangan untuk membangunkan seluruh bahagian Mukah termasuk Dalat, terutamanya dari segi infrastruktur yang akan dapat menaik taraf sudut ekonomi dan sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari bersetuju dengan sembilan permohonan baharu bagi pembangunan Daerah Dalat yang dikemukakan oleh Adunnya yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Abang Johari berkata daripada jumlah itu, empat permohonan dapat diluluskan serta-merta kerana tidak memerlukan peruntukan yang begitu besar.

“Pertama adalah permohonan untuk kerja-kerja nait taraf bumbung Tebingan Dalat fasa satu dengan anggaran kos RM1.9 juta, kedua kerja-kerja pengindahan kawasan sekitar Tebingan Subgai Dalat dengan anggaran kos RM5 juta.

“Ketiga adalah pembelian sebuah van jenazah untuk Hospital Dalat bagi menguruskan penghantaran balik jenazah dan keempat geran tahunan bagi membiayai kos pengoperasian Galeri Warisan Melanau,” ujarnya.

Suara Sarawak