Lembaga Sagu Sarawak

DALAT: Kerajaan Sarawak merancang untuk menubuhkan Lembaga Sagu Sarawak bagi mengawal, meningkat dan mengukuhkan pembangunan industri sagu di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, fungsi lembaga itu yang sama seperti Lembaga Koko Malaysia akan membangunkan industri sagu untuk lebih kompetitif di pasaran global termasuk penyelidikan serta pemasaran.

“Untuk membangunkan lagi industri sagu, kita telah membangunkan Model Penyaliran Biogas Termurni daripada sisa cecair sagu untuk kegunaan memasak di Kampung Teh, Dalat.

“Justeru itu, Daerah Dalat bukan sahaja menghasilkan sagu daripada pokok rumbia tetapi juga gas memasak daripada sisanya dan ini akan menghasilkan lebih pendapatan kepada penduduk daerah ini yang bergantung kepada industri sagu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Tebingan Dalat 2 dan Bangunan Bazarnita Fatima di sini, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan untuk membangunkan seluruh bahagian Mukah dan salah satu daripada adalah Dalat, terutamanya dari segi infrastruktur yang akan dapat menaik taraf sudut ekonomi dan sosial.

“Dahulu kawasan ekonomi di sini bergantung kepada rumbia, tetapi sekarang saya sudah memberi arahan untuk membangunkan aktiviti hiliran rumbia daripada sisa sagu tersebut.

“Saya telah memberi peruntukan khas kepada Craun (syarikat penyelidik) untuk melakukan penyelidikan kerana biogas termurni mengandungi gas metana, selamat digunakan sebagai gas memasak berbanding gas LPG,” jelasnya.

Katanya lagi, jika semua perancangan dilaksanakan dengan baik, ia satu usaha baharu untuk kawasan tersebut. “Umpamanya ada ladang yang kita boleh buat untuk ternakan haiwan, semua yang disebut saya ini adalah untuk penyelidikan.

“Sebab itu kita bangunkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) Kampus Mukah yang boleh mengajar mengenai teknologi khusunya ilmu fizik dan kimia yang sangat perlu untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam pembangunan,” ujarnya.

Suara Sarawak