DALAM kehidupan kita, mungkin ada yang pernah menjadi mangsa atas kesalahan dilakukan orang lain.
Baik daripada rakan, keluarga atau individu tidak dikenali, perbuatan melempar batu sembunyi tangan menggambarkan keperibadian tidak bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan.
Situasi pertama, si pelaku menyalahkan orang lain yang tidak bersalah atas kesalahan dilakukan demi menjaga air muka, reputasi atau sengaja memalukan pihak lain.
Mungkin situasi ini boleh terjadi secara tidak sengaja.
Bukan senang mengakui kesilapan diri. Sifat tidak mahu bertanggungjawab ini boleh memutusan hubungan silaturahim kedua-dua pihak, namun tetap dilakukan demi menyembunyikan kelemahan diri.
CARI KESALAHAN ORANG LAIN
Situasi lain yang sering terjadi apabila seseorang menyembunyikan kesalahan diri dengan membuka kesalahan orang lain. Contohnya, guru memarahi pelajar A kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
Pelajar A kemudian menuding jari ke arah pelajar B yang turut tidak menyiapkan kerja sekolah dengan harapan pelajar B dihukum atau dirinya terlepas daripada hukuman.
Individu seperti ini sering menjadikan rakan di sekeliling sebagai mangsa, bahkan gembira apabila rakannya turut dihukum. Situasi seterusnya lebih terkenal dengan istilah play victim atau acah-acah jadi mangsa.
Situasi ini berlaku apabila individu tersebut tidak menolak kesalahan diri, tetapi menjadikan individu lain sebagai punca kejadian tersebut.
Situasi ini sering dilakukan apabila seseorang terkantoi dengan kesalahan diri dan mengambil keputusan menyalahkan pihak lain. Individu seperti ini harus dielak kerana sangat toksik lebih-lebih lagi di tempat kerja.
Kaedah dilakukan sangat mudah mengunakan elemen simpati dan memanipulasi pendengar dirinya ialah mangsa keadaan.
Individu ini cenderung menyalahkan apa-apa perkara sehinggakan kesalahan itu ditutupi rasa bersalah atau kasihan.
Contoh terkenal ialah mencuri disebabkan lapar, tiada peluang pekerjaan dan akhirnya menyalahkan kerajaan.
Justeru, implikasi melempar batu sembunyi tangan memutuskan silaturahim dan sangat toksik.
Tabiat tersebut boleh memecahkan keharmonian masyarakat apabila bertindak menuduh, menunding jari apa-apa keadaan tanpa berfi kir atau sengaja menimbulkan kekacauan.
SUKA PERHATIAN
Punca individu bertindak menyalahkan pihak lain boleh disebabkan situasi semasa atau sememangnya tabiat diri. Bagaimanapun, apabila melibatkan kesihatan mental, ia menjadi sangat kompleks.
Sukar membezakan individu tersebut benar-benar mempunyai masalah kesihatan mental atau berpura-pura “menghalalkan” kesalahan.
Ia menjadi lebih sukar apabila kes kesihatan mental semakin membimbangkan setiap tahun.
Malah, pelbagai kes jenayah melibatkan individu yang memiliki masalah kesihatan mental. Kayu ukur untuk perkara tersebut sukar ditentukan.
Sekiranya berlaku situasi tersebut, timbul persoalan warganet mengatakan; tibatiba dia ada masalah mental, tiba-tiba dia ada kad Orang Kelainan Upaya (OKU).
Pun begitu, kad OKU bukan tiket untuk lakukan jenayah dan situasi tersebut harus dinilai oleh pihak berwajib.