
KUCHING: Seorang lelaki tempatan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan di sebuah kedai runcit, November tahun lalu.
Hakim Afidah Abdul Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Costylie-uhun, 31, di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama seorang lagi rakannya yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan wang tunai berjumlah RM130 milik sebuah kedai runcit.
Selain itu, tertuduh bersenjatakan sebilah pisau semasa melakukan rompakan di sebuah kedai runcit, Jalan Penrissen, Batu 7, kira-kira jam 10 malam, 11 November 2021.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.
Difahamkan, mangsa yang merupakan warga Indonesia dan saksi penting bagi kes tersebut tidak hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan meskipun telah diberikan sapina mahkamah kerana telah kembali ke negara asalnya.
Pendakwaan kes dikendalikan Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.