KUCHING: Yayasan Sarawak mengumumkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) luar bandar boleh memohon Biasiswa Pinjaman Pelajaran Dalam Negara.
Pengarahnya Mersal Abang Rosli (gambar) berkata, pelajar boleh memohon biasiswa itu sekiranya mendapat tawaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Pelajar luar bandar yang menerima tawaran ke universiti awam boleh memohon biasiswa ini da n ibu bapa boleh menjadi penjamin.
“Ibu bapa hanya perlu menyertakan pengesahan pendapatan daripada ketua masyarakat masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, pelajar juga layak untuk mendapat Hadiah Galakan ke IPT sekiranya pendapatan ibu bapa sebulan RM1,500 dan ke bawah.
Bagaimanapun kata Mersal, hadiah galakan itu hanya terbuka kepada pelajar semester satu sahaja. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang Yayasan Sarawak di www.yayasansarawak.org.my atau hubungi pegawai berkenaan di talian 082-441686 sambungan 105 (Ratnasari Mansor) dan 082-441686 sambungan 101 (Yantiska Mahmud).