Lesap RM2,000 terpedaya pegawai JKM palsu

SRI AMAN: Seorang wanita warga emas dari Kampung Bakong dekat sini kerugian RM2,000 setelah diperdaya tiga pegawai kebajikan palsu kira-kira jam 10:30 pagi Jumaat lalu selepas mengeluarkan wang dari bank.

Lebih menyedihkan mangsa berusia 60 tahun itu bukan sahaja tidak sempat membelanjakan wang yang dikeluarkannya, namun turut ditinggalkan di salah sebuah rumah buruk dekat Taman Harmoni.

Menurut Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, pihaknya tidak mengklasifikasikan kes tersebut sebagai pukau tetapi lebih kepada penipuan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai kebajikan palsu.

“Modus operandi hampir sama dengan beberapa kes sebelum ini yang mana mangsa diperdaya tiga pegawai kebajikan palsu yang kononnya dapat membantu mempercepatkan proses permohonan bantuan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya daripada keterangan mangsa, dia pada mulanya dibawa ke sebuah rumah buruk di Taman Harmoni oleh suspek dengan alasan mangsa perlu bergambar di rumah tersebut agar kelihatan miskin.

“Untuk bergambar, mangsa diminta menanggal dan meninggalkan kesemua barang berharga di dalam kereta.

“Namun, sebaik sahaja mangsa keluar daripada kereta berwarna kelabu atau perak, dia terus ditinggalkan begitu sahaja.

“Mangsa menyedari ditipu akhirnya mendapatkan bantuan penduduk di kawasan berkenaan seterusnya membawa mangsa ke Balai Polis Sri Aman. Laporan polis dibuat kira-kira 11.48 pagi,” ujarnya.

Ekoran daripada insiden tersebut, mangsa mengakui lesap RM2,000 termasuk dua bentuk cincin emas.

Mangsa mendakwa suspek seorang wanita berbadan gempal dengan pakaian baju berlengan panjang berbelang-belang serta kuku berwarna merah jambu selain dua lelaki berada di dalam kereta yang mana salah seorangnya memakai kaca mata.

Mangsa bagaimanapun gagal mengenal pasti jenis kereta berwarna kelabu atau perak yang digunakan.

Polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jenayah menyasarkan golongan tua terutamanya wanita berusia 50 tahun ke atas yang dikatakan cukup mudah terpedaya. Justeru, polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai mana-mana individu lebih-lebih lagi yang tidak dikenali.

Untuk permohonan sebarang jenis bantuan kerajaan lebih baik berhubung terus ke pejabat tanpa bergantung kepada orang yang tidak dikenali.

Suara Sarawak