ARTIKEL

Lesap RM75,300 terpedaya tawaran lumayan pelaburan dalam talian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 50-an berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM75,300 akibat terpedaya penipuan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan semalam daripada mangsa yang mendakwa terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian.

“Pada 10 September lalu, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan telah berminat dengan pelaburan yang diiklankan dalam Facebook dengan menjanjikan pulangan lumayan.

“Dia kemudian menekan pautan iklan dan seterusnya berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ejen bernama Susan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujarnya, nombor telefon mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan atas nama Global Live Road Show pada 24 September lalu dan diminta memuat turun aplikasi Bain Online serta membuat bayaran permulaan.

“Mangsa telah membuat enam pembayaran ke dalam empat akaun syarikat bagi tujuan pelaburan dalam tempoh 25 Oktober sehingga 24 November lalu.

“Bagaimanapun, dia mula berasa curiga apabila suspek memberi pelbagai alasan semasa diminta mengeluarkan wang pelaburan miliknya.

“Menyedari diri ditipu, mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” tegas beliau.

Susulan laporan dibuat, Zulkipli berkata pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU