Letupan, gegaran di Sabah, Labuan dan Brunei masih misteri

KOTA KINABALU,: Satu letupan dan gegaran yang berlaku kira-kira 10 saat pada 11 pagi tadi di beberapa lokasi di Sabah termasuk Sipitang, Beaufort serta di Labuan dan Brunei kekal menjadi misteri.

Bernama melaporkan hari ini bahawa terdapat tiga punca kemungkinan insiden itu berlaku yang boleh diketepikan.

Pertama, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini dilapor menafikan bahawa pihaknya melaksanakan sebarang aktiviti pelupusan atau peletupan bom di kawasan terbabit sekali gus menyangkal khabar angin bahawa insiden itu adalah berpunca daripada tindakan meletupkan sebutir bom Perang Dunia Kedua yang ditemukan di sebuah kampung di Simpang 11, Labuan pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak juga dilaporkan berkata bahawa bom itu telah diletupkan 30 Jan.

Kedua, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjelaskan bahawa letupan serta gegaran itu bukan berpunca daripada sebarang operasi syarikat itu di Sabah dan tinjauan di Sipitang dan kawasan sekitarnya termasuk projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) mendapati ia masih utuh.

Ketiga, Pusat Seismik Kebangsaan Brunei (BNSC) mengeluarkan kenyataan bahawa berlaku aktiviti seismik sederhana pada 11.03 pagi dan ia jelas bukan disebabkan gempa bumi atau gegaran yang bersifat semula jadi di Brunei dan negara sekitarnya sekali gus mengetepikan gempa bumi sebagai punca insiden itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia juga tidak mengeluarkan sebarang amaran gempa bumi berhampiran kawasan terbabit.

Meskipun puncanya masih menjadi misteri, letupan dan gegaran itu telah menimbulkan kebimbangan serta situasi panik dalam kalangan rakyat kerana berdasarkan temu bual yang dilakukan Bernama, bunyinya tidak seperti gempa bumi, petir atau apa sahaja yang pernah didengari sebelum ini.

Insiden itu turut menyebabkan beberapa rumah di kawasan terbabit bergegar dan pihak berkuasa termasuk polis sedang menyiasat puncanya.– BERNAMA