Lewat menyerahkan pemilikan kosong rumah tiga pemaju didenda

KUCHING: Akibat lewat menyerahkan milikan kosong rumah tiga pemaju didenda sebanyak RM107,797.68 oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) di sini semalam.

Presiden TTPRS Peter Lim Thiam Seng membuat keputusan terbabit bersama-sama dua lagi panel iaitu Robert Elone Sireng dan Alhadi Ibrahim memerintahkan tiga pemaju iaitu Sentoria Borneo Land Sdn. Bhd, Ikram Suria Sdn Bhd dan Lien Dak Sdn. Bhd membayar denda tebabit kepada lima pembeli dalam tempoh 45 hari selepas mendapat surat penghakiman TTPRS.

Peter memerintahkan pemaju Sentoria Borneo Land Sdn. Bhd membayar masing-masing RM10,921 kepada Mohd Reza Majni dan Haby Bawan.

“Kita juga memerintahkan Ikram Suria Sdn. Bhd membayar RM10,286.35 kepada Mohammad Afizan Harry.

“Bagi Lien Dak Sdn. Bhd, kita memerintahkan mereka membayar RM38,184.26 kepada tiga beranak iaitu Lucy Tay, Tay Seng Hian dan Kelly Tay Seng Hian manakala RM37,485.07 kepada Liew Phet Khan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat keputusan terbabit dalam perbicaraan TTPRS di sini.

Menurut Peter, dalam prosedur pembelian rumah, rumah berkenaan harus diserahkan kepada pembeli dalam tempoh 24 hingga 36 bulan daripada tarikh permit diduduki (OP).

Tambahnya, dalam lima tuntutan terbabit, pemaju lewat menyerahkan pemilikan kosong rumah lebih daripada sebulan daripada tarikh OP kepada para pembeli.

Peter turut memberitahu, pihaknya menerima lebih daripada 100 kes tuntutan di Sarawak tahun ini berbanding tahun lalu.

“Ia meningkat berbanding tahun lalu yang menunjukkan para pembeli sedar akan hak masing-masing dalam membeli rumah di Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak