KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia kini menyediakan kemudahan kotak serahan di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pemohon Bantuan Prihatan Rakyat (BPR) menghantar dokumen rayuan.
LHDN dalam kenyataan berkata, pemohon boleh mengemukakan borang dan semua dokumen sokongan berkaitan permohonan rayuan BPR melalui kemudahan ‘drop box’ sebelum 30 Jun ini.
“Kemudahan ini disediakan di pejabat cawangan, pejabat satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDN serta pejabat-pejabat daerah berhampiran sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Menurut LHDNM, inisiatif tersebut bagi memudahkan pemohon di dua negeri terbabit yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian.
“Melalui kaedah ini pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan yang lengkap ke dalam kotak serahan yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat iaitu 8 pagi hingga 12 tengah hari, Isnin hingga Jumaat,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, rayuan permohonan BPR dibuka 15 Jun lalu bagi membantu mereka yang tidak lulus permohonan sebelum ini.