Liga Bawah 25 Tahun buka tirai kalendar FAS

KEJOHANAN Bola Sepak Liga Bawah 25 Tahun FAS/Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) akan membuka tirai program Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2021 pada pertengahan Mac ini.

Kejohanan tersebut membabitkan semua bahagian di seluruh Sarawak, termasuk skuad Piala Presiden Sarawak United FC dan Kuching City FC.

Ia diadakan secara timbal balik. Enam pasukan terbaik akan layak ke pusingan selanjutnya, yang akan diadakan secara karnival di Bintulu.

Pengarah Teknikal FAS, David Usop memberitahu, tiga lagi kejohanan akan menyusul selepas itu.

“Kejohanan Futsal (Lelaki & Wanita) Piala Sarawak 2021 akan berlangsung pada April,” ujar David.

Sementara itu, Seminar DNA Bola Sepak Sarawak dan penubahan Pusat Pembangunan, Pusat Cemerlang juga akan berlangsung pada April.

“Kita juga akan menganjurkan Kursus Jurulatih Futsal Level 1 dan Kursus Jurulatih Bola Sepak Lesen B pada Jun,” ujar David kepada Arena Suara Sarawak semalam.

Liga Juara-Juara Kelab Futsal Sarawak pula akan diadakan pada Ogos.

Manakala pertandingan berprestij, Kejohanan Bola Sepak Piala Sarawak akan berlangsung di Limbang pada Oktober.

“Segalanya bergantung kepada perkembangan semasa pandemkik Covid-19.

“Kita berharap semua program dapat dilaksanakan dengan jayanya,” tambah David lagi.

Suara Sarawak