KUCHING: Skuad serba mantap, Saratok FA siap sedia untuk mengharungi gelora sebenar perlawanan akhir menentang Hermanos dalam kempen Liga Betong 2022 di Kompleks Sukan Betong petang esok.
Sekali gus, mahu memahat sejarah untuk bergelar juara edisi kali ini.
Ketua jurulatih, Awang Jobli Awang Bidin berkata, pihaknya mahu memastikan kemenangan dapat diperoleh ke atas Hermanos pada aksi final petang esok.
Tegas jurulatih berpengalaman luas itu, segalanya bukan mudah kerana pasukan lawan pasti tidak akan memberi laluan mudah.
“Apatah lagi, barisan yang semakin meningkat naik kredibiliti mereka turut memasang impian sama untuk cuba merangkul kejuaraan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Awang Jobli, beliau sudah mempersiapkan pasukannya mengikut pelan yang dirancang.
“Saya harap pemain dapat menterjemah strategi yang akan diguna pakai sepanjang tempoh perlawanan petang ini dengan sebaik mungkin,” tambah Awang Jobli.
Sambil turut mengingatkan barisan pemainnya agar sentiasa peka akan tiga perkara penting yang menjadi penanda aras perjuangan mereka pada perlawanan itu.
“Harus bijak memanfat peluang terhidang, bijak menyerap tekanan selain cuba mengelak daripada melakukan kesilapan.
“Sekiranya pemain dapat melaksana tugasan mereka dengan sebaik mungkin, peluang untuk memahat sejarah pasti akan tercapai,” jelas Awang Jobli lagi.