KELAB bola keranjang di sekitar Sarawak terutama Kuching digalak terlibat dalam liga bola keranjang bagi mendedahkan sukan tersebut dalam kalangan masyarakat.
Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan menyeru agar lebih ramai masyarakat bumiputera terlibat dalam sukan yang popular dengan atlet Michael Jordan itu.
Beliau yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) berkata, pihaknya juga terus menyokong usaha murni ini dan memastikan fasiliti sukan bola keranjang diwujudkan khususnya di kawasan Petra Jaya, Kuching.
Putrayusrie yakin dengan pendedahan yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan lagi mutu sukan, juga penganjuran dan penajaan kepada siri LBPJ akan datang.
“Saya difahamkan LBPJ ini dijalankan sejak 2019, namun terpaksa ditangguhkan dua tahun kerana faktor pandemik Covid-19.
“Dengan objektif memperkenalkan sukan bola keranjang dalam kalangan masyarakat bumiputera, lebih 90 pemain datang dari Kuching,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Liga Bola Keranjang Petra Jaya pada Sabtu.
Putrayusrie turut merasmikan Liga Bola Keranjang Petra Jaya di gelanggang bola keranjang Sungai Apong, Kuching.
Menurut beliau, liga ini juga berperanan mencungkil bakat baharu dan menjadi platform menghubungkan kelab bola keranjang bumiputera khususnya di sekitar Kuching.
“Saya difahamkan terdapat beberapa pemain LBPJ pada siri lepas menyertai MABA Cup di Kuala Lumpur, tahniah diucapkan kepada semua,” ujarnya.
Sementara, Presiden Kelab Bola Keranjang Kryptonite Petra Jaya, Amirul Sufrie berkata, penganjuran LBPJ 2023 ini merupakan penganjuran buat kali ketiga sepanjang kelab bola keranjang tersebut ditubuh meraikan minat dan semangat dalam sukan tersebut.
Menurut Amirul, LBPJ yang dianjurkan buat pertama kali adalah pada 2019 manakala kali kedua pada 2022.
Liga ini jelasnya, dianjur khas buat pemain bumiputera yang dilihat agak kurang pendedahan ke atas sukan tersebut agar dapat memupuk minat dan merapatkan silaturahim.
“Hari ini, kami berkumpul bukan sahaja untuk menyaksikan aksi bola keranjang yang mendebarkan, tetapi juga kumpulan barkoba mengembara perjalanan ke arah meningkatkan komuniti bola keranjang kami ke tahap lebih tinggi.
“Dengan itu, sasaran kami bukan sahaja meningkatkan prestasi di gelanggang, malah merevolusikan cara mengurus dan mengembangkan pasukan kami,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dalam pada itu, Amirul turut mengiktiraf dan memuji dedikasi dan kerja keras antara pemain dan jurulatih yang terlibat dalam menjayakan liga ini sekali lagi.
“Semangat anda membawa kami ke sini hari ini dan komitmen memacu kami ke hadapan,” katanya menzahirkan penghargaan buat pemain dan jurulatih terlibat.
Amirul berharap agar liga ini boleh dijadikan sebagai acara tahunan dan berkembang pada masa hadapan dengan lebih banyak pasukan menyertainya.
Pada masa yang sama, Amirul turut berharap liga ini boleh menaik taraf sukan bola keranjang khasnya di kawasan Petra Jaya, Kuching.
Untuk pengetahuan, liga ini terbuka kepada semua pemain bumiputera.
Pada pertandingan kali ini terdapat lapan pasukan yang menyertai liga dan setiap pasukan terdiri daripada 15 pemain.
Kebanyakan peserta yang terlibat dari Kuching dan terdapat beberapa peserta dari luar iaitu Sibu, Bintulu, Miri dan Semenanjung Malaysia.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan dan Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Bahagian Kuching, Yang Berbahagia Kaunselor Aaron Tay Kok Tung.