Liga M3 2019: Hampir tercicir mata

SKUAD Kuching FA hampir pasti keciciran mata ketika menentang Johor Bahru di Stadium Sarawak malam kelmarin.

Mujurlah bekas pemain Sarawak, Mohammad Hafis Saperi menjaringkan gol tunggal perlawanan 12 minit sebelum tamat, sekali gus memberikan tiga mata berharga. Ia merupakan gol kelima Hafis.

Jurulatih Kuching FA, Ideris Untong lega sebaik wisel penamat dibunyikan.

“Syukurlah kita dapat tiga mata. Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak henti-henti mendoakan kejayaan kami. Terima kasih semua,” ujarnya.

Menurut Ideris, kelemahan anak-anak buahnya dalam aksi tersebut ialah terlalu banyak hilang bola, terutama pada babak pertama.

“Terdapat dua hingga tiga pemain kita yang hilang fokus, dan menyebabkan rentak kita ‘cacat’.

“Namun kita dapat baiki rentak pada babak kedua. Kemasukan Hafis dan Samsu Alam menambah sengat bahagian serangan hingga dapat jaring gol yang kita cari,” kata Ideris.

Walaupun agak hilang arah pada babak pertama, namun Kuching FA mencipta sekitar empat hingga lima peluang terbaik untuk menjaringkan gol melalui ‘mesin jaringan’ Joseph Kallang Tie.

Namun pada masa yang sama Johor Bahru turut mencipta peluang pada awal saingan, tetapi ketangkasan penjaga gol Mohd Iqbal menafikannya.

Dengan kemenangan itu, maka Kuching FA kekal menerajui takhta liga dengan 32 mata, sambil diekori rapat pencabar utama, Kelantan United (29 mata).

Kuching FA akan menentang Puchong Fuerza FC di gelanggang lawan Ahad ini.

Suara Sarawak