Liga M3 2019: Siap sedia kutip tiga mata

PENDAHULU Liga M3, Kuching FA bersiap sedia untuk mengutip tiga lagi mata apabila turun menentang Johor Bahru di Stadium Sarawak malam esok (Sabtu).

Di atas kertas, Kuching FA dilihat mempunyai peluang yang baik untuk menang. Ini kerana dua mesin gol, Joseph Kallang Tie dan Sufizal Ismail sedang berada dalam prestasi kemuncak ketika ini. Joseph telah pun menyumbat 13 gol, manakala Sufizal tiga gol.

“Saya sentiasa bersedia dan akan terus berusaha untuk menjaringkan gol,” kata Sufizal, bekas anak didik Robert Alberts. Sufizal yang ditambat Jun lalu menunjukkan keserasian dengan Joseph. Walaupun baru tiga kali beraksi, namun dia kini sudah menyumbat tiga gol.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong menasihatkan anak-anak buahnya agar memanfaatkan sebaik mungkin aksi di tempat sendiri. Kuching belum lagi terkalah setelah melalui 11 perlawanan, dengan catatan sembilan kemenangan dan dua kali seri.