Liga Malaysia 2021 pasti lebih rancak

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula pada 5 Mac, dilancarkan secara rasmi kelmarin dengan harapan baharu serta visi dan misi lebih gemilang demi kemampanan industri bola sepak negara.

Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata matlamat utama ialah memastikan kelangsungan industri sukan nombor satu negara itu di sebalik penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dalam usaha berterusan mengekang penularan Covid-19.

Beliau turut berharap perjalanan Liga-M musim ini berjaya disempurnakan seperti dirancang selain dapat menarik masuk lebih banyak penajaan sekali gus memanfaatkan pasukan bertanding yang tidak terkecuali terkesan impak pandemik itu.

“Kita perlu fokus mengenai Covid-19 di samping memastikan kelangsungan industri bola sepak tempatan dijalankan seperti kata Menteri Belia dan Sukan selepas ini kita akan cuba bawa secepat mungkin penyokong ke stadium secara beransur-ansur.

“Diharapkan juga saingan Liga Super dan Liga Premier diteruskan hingga ke Piala Malaysia dengan menjadi satu pertandingan yang kompetitif sebagai menyiapkan pasukan kebangsaan pada Jun nanti,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Liga-M 2021.

Majlis pelancaran dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal Merican dalam ucapannya percaya dengan persiapan rapi dan pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MFL, saingan Liga-M 2021 bakal menjanjikan sesuatu yang luar biasa.

Katanya kebenaran khas untuk Liga-M berlangsung dan pasukan-pasukan untuk memulakan latihan atas dua dasar pertimbangan iaitu kerajaan memahami keperluan serta kelangsungan hidup semua yang terlibat dalam ekosistem bola sepak.

“Kedua, atas kepercayaan mereka (kerajaan) kepada disiplin komuniti sukan tanah air di mana keyakinan mereka kepada kita semua dalam industri bola sepak yang sangat berdisiplin dan pasti akan mematuhi SOP telah ditetapkan,” kata Reezal Merican.

Musim Liga-M 2021 menyaksikan 23 pasukan, iaitu 12 pasukan Liga Super dan 11 Liga Premier, merebut mahkota kejuaraan dan melibatkan keseluruhan 242 perlawanan.

Kempen Liga-M akan membuka tirai dengan pertembungan antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini.- Bernama

Suara Sarawak