LIGA MALAYSIA: Sarawak United FC turun padang Selasa

SKUAD Sarawak United FC (SUFC) akan memulakan sesi latihan pramusim di Kuala Lumpur mulai petang Selasa.
Ketua jurulatih SUFC, E.Elavarasan berkata, semua pemain telah pun berada di Semenanjung.
“Kita perlu mengikuti kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun latihan dibuat di sini.
“Latihan persiapan perlu diteruskan sekiranya Liga Perdana bermula penghujung Februari depan,” katanya yang dihubungi arena Suara Sarawak.
Tarikh sebenar Liga-M 2021 masih belum pasti, bergantung kepada situasi semasa Covid-19. Sekiranya keadaan masih teruk, maka ia akan ditangguhkan, mungkin Mac atau April.
Sementara itu, Presiden SUFC, Datuk Posa Majais menjelaskan ekoran pandemik Covid-19, maka mereka menjalani latihan di ibu kota.
“Untuk memasuki Sarawak perlu menjalani kuarantin selama sepuluh hari. Proses tersebut menelan kos yang tinggi apabila pemain dan pegawai yang akan ke Kuching terpaksa melalui proses tersebut,” ujar Posa.
SUFC dibarisi beberapa pemain tempatan ternama seperti Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo), Christie Jayaseelan, R Gopinathan serta bekas pemain JDT, Amer Saidin.
Malah mereka turut diperkuatkan tiga import asing ternama, Taylor Regan, Sandro Mendoca dan penyerang Korea Selatan, Lee Chang-Hoon.
Selain itu, SUFC juga disertai pemain tempatan handalan, Ashri Chuchu, Tommy Mawat, Nor Shamie Iszuan dan Alan Lagang.

Suara Sarawak