TIGA beradik, Shahran Abdul Samad (pertahanan tengah/kiri), Samsu Alam Abdul Samad (tengah) serta Nazrul Abdul Samad (pertahanan tengah) akan menjadi taruhan Kuching City FC dalam kempen Liga Malaysia 2021.
Mereka berasal dari Sandakan, Sabah, namun menetap di Bahagian Bintulu sejak puluhan tahun. Nama mereka cukup popular di bandar belacan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Gandingan tiga beradik mengingatkan kita, terhadap pemain Sarawak sebelum ini, namun hanya dua orang.
Mereka ialah Roslan Ismail dan Buseman Ismail, anggota pasukan Ngap Sayot 1988. Roslan beraksi di posisi pertahanan, manakala Buseman, posisi tengah.
Dua lagi gandingan adik-beradik ialah Ramos Sari dan Ramles Sari, tonggak skuad Sarawak 1996 hingga awal era tahun 2000. Ramos beraksi di bahagian sayap, manakala Ramles sebagai penyerang.
Shahran, 37, bekas pemain Sarawak, mahu meletakkan Kuching City FC pada tahap yang lebih tinggi.
“Tahun ini merupakan musim keempat saya bersama pasukan City Boys.
“Jadi saya mahu kejayaan yang lebih lagi selepas ini,” ujar Shahran yang turut membantu Kuching layak ke Liga Premier.
Manakala adiknya, Samsu Alam, 32, menyimpan hasrat yang sama dengan abangnya.
“Kami sudah pun bersiap sedia walaupun kita tidak tahu tarikh sebenar Liga-M musim ini. Yang pasti, saya mahu memberikan aksi terbaik sekiranya diturunkan,” ujarnya. Samsu lebih dikenali sebagai Acu dalam kalangan rakan-rakannya.
Sementara itu, adik bongsu, Nazrul Abdul Samad, 28, menganggap tahun pertamanya sebagai musim mencabar.
“Saya masih baharu dalam pasukan, tetapi saya mahu buktikan.
“Pengalaman bersama pasukan Piala Presiden Sarawak pasti akan sedikit membantu saya,” ujarnya.

Sukma 2024: SABA kenal pasti petinju baharu
KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) sudah mengenal pasti petinju