LIGA MALAYSIA: Uche Agba senjata baharu Sarawak United

SARAWAK United FC (SUFC) bakal diperkuatkan penyerang dari Nigeria, Uche Agba, 34, yang sebelum ini pernah menyertai skuad Liga Super, Melaka United dan PDRM.

Penyerang lincah itu turun beraksi 10 minit ketika perlawanan persahabatan SUFC dan Kedah Sabtu lalu yang dimenangi SUFC denga jaringan 2-1.

Sebelum menyertai Liga Malaysia, Agba pernah menyarung jersi beberapa kelab ternama Arab Saudi, seperti Al-Riffa, Al-Najma, Al-Hidd yang pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia.

Kehadiran Agba pasti akan menambah ‘bisa serangan’ SUFC yang sudah pun mempunyai dua penyerang handalan, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain dari Korea Selatan, Lee Chang Hoon.

Menurut penolong jurulatih SUFC, Safri Amit, hanya Sandro Mendoca (tengah) dari Brazil yang masih menjalani kuarantin, dan hanya akan bersama pasukan Jumaat ini.

“Sekarang ini, kami bekerja keras untuk memantapkan semua aspek… maklumlah, kami hanya berlatih sejak 15 Februari lalu, dan masa semakin suntuk.

“Yang pasti, kami masih fokus aspek kecergasan, kekuatan, keserasian dan taktikal,” ujar Safri.

Menurut bekas penyerang Sarawak itu, jurulatih E. Elavarasan masih membuat penilaian terakhir bagi menentukan 11 pemain terbaik untuk membentuk kesebelasan utama.

SUFC telah pun mengharungi dua aksi persahabatan baru-baru ini, seri 1-1 dengan Sabah FC (Liga Super) dan mengalahkan Kedah (Liga Super) 2-1.

Suara Sarawak