ARTIKEL

Liga Parlimen al-Quds: M’sia kongsi pengalaman pertahankan Palestin berterusan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ISTANBUL: Delegasi Malaysia berkongsi peranan negara dalam usaha berterusan mempertahankan nasib Palestin pada Persidangan Kelima Liga Parlimen Al-Quds yang berlangsung di Istanbul, Turki pada Sabtu.

Ketua Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, antara yang dikongsikan termasuk sikap Malaysia yang sentiasa tegas dalam isu Palestin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang memaklumkan dalam ucaptamanya juga akan dikongsikan aktiviti yang dilakukan Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.

“Saya akan sentuh beberapa perkara utama yang pertama berkenaan dengan sikap Malaysia terhadap nasib warga Palestin, Malaysia sangat tegas tentang isu melibatkan Palestin.

Pada masa yang sama, saya juga membawa isu yang mengkhususkan tentang peperangan dan juga bantuan kemanusiaan.

“Seterusnya saya akan kongsikan juga berkenaan aktiviti yang dilakukan  Kokus Palestin Parlimen Malaysia tentang apa-apa tindakan yang kita laksanakan dalam usaha berterusan ini,” katanya.  

Syed Ibrahim berkata demikian sebelum menyampaikan ucaptama Persidangan Kelima Liga Parlimen Al-Quds yang berlangsung pada Sabtu.

Mengangkat tema Pembebasan dan Kemerdekaan untuk Palestin, persidangan ini telah dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat.

Ia melibatkan 600 ahli parlimen daripada 75 negara merentasi benua Asia, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, penglibatan negara bukan Islam dalam persidangan ini dialu-alukan.

Ia bagi memberi isyarat jelas kepada rejim Zionis Israel dan sekutunya bahawa dunia kini sudah memahami kezaliman dan penindasan berterusan yang dilakukan kepada penduduk di Palestin khususnya di Gaza.
“Kita lihat dalam persidangan hari ini lebih separuh sebenarnya adalah daripada kalangan negara bukan Islam, tapi suara mereka belum kedengaran sangat lagi.

Jadi saya jangkakan kita nak juga tunjukkan supaya ada pelan tindakan untuk kita bawa negara-negara ini bersama, jadi mesti ada organisasi payung yang besar yang bukan hanya mewakili negara Islam tetapi daripada rakyat dan juga negara bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, terdapat sokongan daripada luar sekarang terutamanya dalam kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat dan Eropah yang sudah bangkit dan sepatutnya masyarakat Islam memanfaatkan sokongan itu menjadikannya sebagai sokongan padu untuk perjuangan rakyat Palestin.

Pada persidangan kali ini, delegasi Malaysia turut diwakili dua ahli Kaukus Palestin Parlimen Malaysia iaitu, Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman.

– Daripada Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof
Bernama

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU