TAHNIAH buat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan presidennya, Datuk Posa Majais kerana mengembalikan pasukan Sarawak bersaing dalam Liga Premier 2020.
Walaupun bertukar nama kepada Sarawak United, tetapi ia tetap sebagai pasukan utama yang mewakili bendera Sarawak.
Usaha Posa melalui pembelian lesen kelab Selangor United yang menarik diri ekoran masalah kewangan, membuktikan bos FAS itu mahu melihat bola sepak Sarawak perlu berada pada tempat yang sewajarnya.
Malah beliau sentiasa gigih memperjuangkan bola sepak kita untuk naik semula sebagai antara pasukan yang disegani di Malaysia.
Beliau tidak endah dengan kegagalan lalu atau kritikan daripada beberapa pihak. Bagi Posa, segalanya adalah demi bola sepak Bumi Kenyalang.
Yang pasti, inilah peluang terbaik bagi FAS untuk membuktikan. Kegagalan musim 2019 sewajarnya menjadi pengajaran dan peringatan penting.
Segala ‘cacat cela’ harus dipandang dari sudut yang positif, sekurang-kurangnya FAS sekarang ini mengetahui cara-cara yang salah ketika mengurus dan membentuk pasukan.
Ia juga bermakna, FAS akan memastikan segala kesilapan musim 2019 tidak akan berulang, sebaliknya merangka pelan baharu yang berupaya menghasilkan sesuatu.
Antara kesilapan ketara musim 2019 ialah menyerapkan sebahagian besar pemain muda yang kurang pengalaman, di samping kegagalan memilih pemain import asing berwibawa. Ia juga berpunca daripada kegagalan melantik jurulatih secara tetap selepas jurulatih utama diketepikan.
Sebagai pasukan utama, FAS perlu membentuk kekuatan sebenar, bukannya kekuatan ala kadar. Ini bermakna, apabila bersaing dalam Liga Premier atau Liga Super, bukanlah masa untuk melakukan eksperimen, atau menurunkan pasukan B.
Walaupun sasaran kita bukan untuk juara, tetapi sekurang-kurangnya berada di kedudukan yang stabil, di pertengahan liga misalnya, bukannya di tangga tercorot dan kemudiannya terpaksa mengharungi perlawanan play-off untuk menyelamatkan diri.
Jadi, untuk pasukan 2020, FAS perlu mempunyai misi dan visi yang jelas, berusaha sedaya upaya untuk naik semula ke Liga Super atau sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima teratas Liga Premier.
Untuk merealisasikannya, pasukan Sarawak memerlukan sekumpulan pemain berkaliber, terutama import asing. Malah kita juga memerlukan jurulatih berkelayakan yang mampu memberikan sumbangan. Pada masa yang sama kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan sentiasa terjaga.
Kita perlu keluar daripada tradisi lama, tidak perlu terlalu mementingkan sejumlah besar pemain tempatan untuk pasukan utama, kerana kita mempunyai saluran lain untuk mengetengahkan bakat mereka. Misalnya melalui pasukan kedua seperti pasukan Sarawak FA, skuad Piala Presiden atau Piala Belia.
Apa yang lebih penting ialah pemain yang menyarung jersi Sarawak United berupaya menggalas tugas dengan baik dan boleh membantu memberikan kekuatan dan kemenangan kepada pasukan. Dari mana asal mereka, bukanlah persoalannya.
Hanya kehebatan pasukan, kemenangan dan kejayaan mampu menarik sejumlah besar penonton ke stadium. Kita mahu melihat peminat skuad Sarawak United akan berduyun-duyun ke stadium sejak jam 5.00 petang seperti ketika era 1988-1989, 1992-1999, 2005-2006 dan 2013.