SKUAD Kuching City FC (KCFC) bakal sedikit tempang di bahagian pertahanan, ekoran kecederaan serius yang menimpa Mohammad Dzulazlan Ibrahim.
Malah pemain kelahiran Kuching itu terpaksa menjalani pembedahan di bahu kanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan, Dzulazlan akan berehat selama empat bulan.
“Dia cedera ketika menentang Negeri Sembilan dalam aksi di Paroi baru-baru ini.
“Dia sudah pun menjalani pembedahan, dan kita merasai ketiadaan beliau,” ujar Iswandi.
Jurulatih KCFC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui, mereka pasti akan meringue khidmat Dzulazlan selepas ini.
“Dia merupakan pemain yang mempunyai semangat juang kental. Ketiadaannya memang dirasai.
“Namun saya berharap pengganti beliau nanti mampu memikul tugas dengan baik. Saya percaya dengan semangat pemain kita,” jelasnya.
The City Boys akan menentang Selangor 2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 18 April ini (Ahad) pada jam 10 malam.