LIGA PREMIER 2021: Irfan Bakti temui barisan bayangan

PENGEMUDI Kuching City FC, Irfan Bakti mengakui sudah mempunyai barisan kesebelasan bayangan yang boleh dipertaruhkan dalam kempen Liga Premier 2021.

“Semua pemain begitu komited semasa latihan, walaupun belum ada aksi persahabatan yang kompetitif.

“Apa yang menggembirakan saya ialah, mengenal pasti 11 pemain berpotensi untuk mengibar barisan utama,” ujar Irfan.

Menurut Irfan, persiapan pasukannya ketika ini berjalan lancar mengikut jadual dengan memasuki fasa terakhir.

Tambah beliau, semua pemain semakin bersemangat untuk turun mengharungi aksi sebenar Liga Premier 2021.

Jelas Irfan, beliau akan menggunakan masa yang ada untuk terus memperkemas setiap posisi yang ada agar lebih mantap.

Irfan turut menjelaskan, mereka berkampung di Semenanjung mulai awal Mac nanti.

Sebelum ini, pihak pengurusan KCFC memohon untuk mengadakan empat aksi pertama di gelanggang lawan.

Malah mereka bersedia untuk ‘berhijrah’ ke Semenanjung sekiranya situasi Covid-19 masih meruncing.

Ini mereka akan menggunakan stadium di Kuala Lumpur atau Selangor sebagai gelanggang utama untuk sementara waktu.

Suara Sarawak