Liga Premier 2021: KC FC tetap fokus

SKUAD warga kota, Kuching City FC (KC FC) kekal dengan pendekatan latihan secara berasingan untuk pemainnya sebagai mana dipraktikkan ketika ini.

Ia berikutan kegagalan ‘The City Boys’ mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi pelaksanaan ‘camp base training’.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KC FC, Iswandi Ali Hassan memberitahu, pihaknya akur dengan keputusan badan induk (JPBNS) berkenaan.

Dalam keadaan pihaknya amat berharap kelulusan dapat diberikan sebelum ini bagi membolehkan sesi latihan secara menyeluruh pasukan itu dapat dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi aksi pusingan kedua kempen Liga Premier 2021 yang akan bersambung 3 Julai nanti.

“Kita akur dengan keputusan yang dikeluarkan oleh JPBNS baru-baru ini kerana percaya situasi tidak menentu masih melanda negara disebabkan pandemik Covid-19 mungkin antara faktor kelulusan tidak dapat diberikan,” ujar Iswandi kepada Arena Suara Sarawak.

Bagaimanapun tegas Iswandi, perancangan tetap diteruskan dan pemain kekal menjalani latihan secara berasingan yang turut dipantau secara maya.

Skuad kendalian Irfan Bakti akan menentang Terengganu FC II di Stadium Negeri, Petra Jaya (8.15 malam) pada 3 Julai nanti.

Suara Sarawak