LIGA PREMIER 2021: Kuching City FC terlepas tiga mata

SKUAD Kuching City FC (KCFC) terlepas tiga mata penting setelah gagal menyempurnakan sepakan penalti dan beberapa peluang terhidang ketika seri 0-0 dengan pendahulu liga, Negeri Sembilan dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.

Jurulatih KCFC, Irfan Bakti menjelaskan, mereka terpaksa akur dengan satu mata setelah beberapa peluang gagal disempurnakan.

Peluang terbaik ialah apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78, namun bintang import, Bryan Jones gagal menyempurkannya.

“Kami menguasai perlawanan sepanjang babak kedua. Banyak peluang dipersia-siakan… termasuk kegagalan sepakan penalti Bryan,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Bagaimanapun, menurut Irfan, mereka tetap gembira dengan prestasi anak-anak buahnya yang semakin menunjukkan peningkatan.

Dengan keputusan itu, juga maka NS kembali menguasai carta, namun hanya dengan kelebihan satu mata, di depan pencabar utama, Sarawak United.

KCFC kini menduduki tangga kesembilan, setelah melalui lima perlawanan.

Mereka berpeluang untuk memperbaiki kedudukan apabila turun menentang skuad tercorot, Projek FAM-MSN di Stadium UiTM Shah Alam Rabu ini (7 April).

KCFC akan beraksi di Stadium Negeri Petra Jaya Kuching, selepas selesainya 10 perlawanan di Semenanjung.

Ini bermakna, mereka akan bermain di Kuching dalam perlawanan ke-11, menentang Terengganu FC II pada 26 Mei depan.

Suara Sarawak