Liga Premier 2021: Kuching City lakar kemenangan sulung

HASRAT Kuching City FC (KCFC) untuk meraih kemenangan dalam kempen Liga Premier 2021 akhirnya tercapai setelah membenam skuad serba kental, PDRM 2-1 dalam aksi sengit di Stadium Cheras Sabtu lalu.

KCFC membuka tirai jaringan seawal minit ketiga hasil rembatan mudah, Muhammad Adam Shreen Tambi selepas panjaga gol PDRM melakukan kesilapan, terhantar bola ke arah Shreen.

Manakala gol kedua, hasil jaringan Hudson Dias pada minit ke-46, melalui tolakan mudah, selepas penjaga gol PDRM gagal menepis sepakan sudut.

Manakala, gol tunggal PDRM dijaringkan oleh Lazarus Kaimbi menerusi sepakan penalti pada minit ke-76. PDRM melakukan asakan hebat sepanjang 20 minit terakhir, namun benteng KCFC kental menangkis serangan.

Jurulatih KCFC, Irfan Bakti, menjelaskan ia merupakan kemenangan yang cukup bermakna, setelah melalui empat perlawanan.

“Kami beraksi baik sepanjang 70 minit pertama, namun
terpaksa bekerja keras sepanjang 20 minit terakhir,” katanya kepada Arena Suara Sarawak semalam.

KCFC kini naik di tangga kelapan liga dengan empat mata, hasil satu kemenangan dan sekali seri. Mereka kalah dua kali, tewas 2-0 kepada Sarawak United FC dan tumpas 3-1 kepada JDT II. KCFC seri 1-1 dengan Terengganu II.

Liga Malaysia berehat seminggu selepas ini. KCFC akan menentang satu lagi pasukan hebat, Negeri Sembilan di Stadium Likas, Sabah pada 3 April depan. Likas merupakan gelanggang utama KCFC selepas ini.

Sementara itu, penolong jurulatih KCFC, Sulaiman Hussin, menjelaskan, kemenangan tersebut cukup melegakan, setelah tiga aksi terdahulu berakhir dengan kekalahan dan seri.

“Sekurang-kurangnya, para pemain akan lebih tenang sepanjang tempoh rehat seminggu lebih.

“Ia bukanlah aksi terbaik kami, namun para pemain telah bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan sepanjang perlawanan… jadi ia adalah kemenangan yang kami cari-cari,” ujar Sulaiman.

Menurut beliau, kemenangan tersebut dituju khas kepada Presiden KCFC, Fazzrudin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Iswandi Hassan serta para peminat KCFC.

Suara Sarawak