Liga Premier 2021: Kuching City sedia gempur kubu Sarawak

JURULATIH Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim mengarahkan anak-anak buahnya untuk menggempur kubu Sarawak United FC (SUFC) dalam aksi Liga Premier 2021 di Stadium Hang Jebat, Melaka malam Selasa.

Walaupun SUFC mempunyai rangkaian serangan hebat, namun Irfan tidak gentar, malah mahu anak-anak buahnya tidak terlalu bersifat defensif.

“Kami pasti akan ‘menyerang’ kubu mereka. Jika kami bertahan… selama mana kami boleh berbuat demikian.

“Oleh itu kami akan beeusaha sedaya spaya untuk membolosi benteng mereka,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Yang pasti, bekas pengendali Selangor dan Terengganu itu, akan melakukan sedikit rombakan terhadap barisan utama.

Setelah melalui dua perlawanan, KCFC seri 1-1 dengan Terengganu FC II dan tewas 3-1 kepada barisan bintang, JDT II yang diterajui dua penyerang Malaysia, Safiq Ahmad dan Akhyar Rashid.

Irfan mahu bahagian serangan yang diterajui Hudson Dias memanfaatkan peluang yang terhidang.

Yang pasti, KCFC banal menghadapi tugas berat malam ini, berdepan jentera serangan hebat SUFC yang telah pun meledakkan lima gol dalam dua aksi.

Gandingan bintang Nigeria, Uche Abga dan Penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Tahala pasti akan menjadi ancaman besar terhadap benteng KCFC.

Irfan dijangka akan menurunkan Mohd Iqbal di benteng terakhir (penjaga gol). Manakala Aylton Fereira akan mengemudi pertahanan bersama-sama Hairol Mokhtar, Ramesh Lai Ban Huat dan Dzulazlan Ibrahim.

Bahagian tengah pula akan diterajui Joseph Kallang Tie, bersama-sama Yuta Suzuki, Bryan dan Alif Hassan. Hudson Dias pula akan bergandingan dengan Shreen Tambi di bahagian serangan.

 

Suara Sarawak